Patah Hati IV
Kelihatan dia seperti baik-baik sahaja. Mengenal dan terus mengenal orang baru. Tanpa segan melupakan semua tentang kami. Hanya aku yang masih teguh menyingkap kenangan semalam. Terus larut dalam sedihnya takdir kehidupan. Sentiasa berharap untuk kembali walau sudah berkali dinyatakan yang dia hanya bermain. Ya, berkali dia menyatakan bahawa dia hanya bercanda. Aku yang terburu-buru memberi hati. Berharap dia juga seperti aku. Aku juga yang sengaja ingin terluka, cuba untuk kembali berbaik. Fikir aku, mungkin kita boleh berkawan walau tidak seakrab dahulu. Namun, apa gunanya jika tangan kanan sahaja yang menghayun. Tanpa sambutan tangan kiri tiada juga sebarang bunyi yang keluar. Balik-balik aku juga yang terluka. Terluka saat mendengar dia sudah ada yang baru. Terluka saat layanan dia kepada aku dahulu diulang bersama yang lain. Terluka saat dia tiada masalah dengan masa silam. Terluka saat aku melihat dia tersenyum bercerita tentang yang lain. Dan terluka saat dia bersedih atas pemergian yang lain namun bukan aku.
Nota untuk diri ;
Kuatkan hati. Kamu orangnya cekal. Jangan mudah berserah dengan perang emosi. Teruskan melangkah. Jangan sedikitpun berpaling. Kesedihan ini proses kita untuk dewasa.

Ulasan
Catat Ulasan